Sunday, April 18, 2010

BAHAYA TEKANAN DARAH TINGGI

Tekanan Darah Tinggi

Pengenalan
Jantung anda bertugas sebagai alat mengepam di mana ia menguncup dan berehat. Aktiviti ini menghasilkan tekanan yang membawa darah keseluruh badan. Tekanan darah ini berbeza bagi setiap seseorang individu dan bacaannya juga berbeza.
Apakah itu Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi?
Jantung anda bertugas sebagai alat mengepam di mana ia menguncup dan berehat. Aktiviti ini menghasilkan tekanan yang membawa darah keseluruh badan. Tekanan darah ini berbeza bagi setiap seseorang individu dan bacaannya juga berbeza.
Bacaan Tekanan Darah
Kategori Tekanan Darah Tinggi
Tekanan Darah Systolic(Angka bacaan di atas)mmHg
Tekanan Darah Diastolic(Angka bacaan di bawah)mmHg
Normal <> 160
or > 100

Mengapa penting mengukur tekanan darah secara berkala?
Adalah mustahak untuk anda mengukur tekanan darah secara berkala bagi menentukan samada tekanan darah anda tinggi atau tidak. 90% pengidap Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi tidak menunjukkan sebarang gejala manakala 10% lagi ada menunjukkan gejala.
Pengidap Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi berisiko tinggi untuk mendapat penyakit jantung. Tekanan darah yang terkawal dapat mengurangkan kedatangan pesakit ke klinik pesakit luar, kemasukkan ke hospital dan kematian akibat strok (angin ahmar) dan penyakit jantung.

Apakah kesan hypertensi/tekanan darah tinggi?
Di antara kesan Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi adalah:
Rasa tidak sihat yang menjejaskan fizikal dan mental serta memberi kesan kepada keluarga anda dan kerja anda.
Sukar memiliki polisi insuran baru dan anda akan dikenakan premium yang tinggi

Apakah penyebab Hypertensi/Tekanan Darah tinggi?
90% penyebab sebenar Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi adalah tidak diketahui manakala 10% lagi adalah akibat penyebab sekunder iaitu akibat penyakit tertentu.
Sebab yang tidak diketahui (90%)
Sebab sekunder (10%)
Penyakit buah pinggang
Penyakit sistem endokrin
Penyakit pembuluh darah

Adakah Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi diwarisi dari ahli keluarga?
Jika kedua ibu bapa anda mengidap Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi, 50% kemungkinan anak-anak akan mewarisi penyakit Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi tersebut. Jika salah seorang dari mereka mengidap darah tinggi, maka anak-anak mungkin mendapatnya.

Faktor Risiko Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi
Faktor risiko yang menyebabkan Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi adalah:
Cara hidup tidak aktif
Umur melebihi 35 tahun
Merokok
Kegemukan
Paras kolesterol tinggi
Sejarah keluarga
Pengambilan alkohol yang berlebihan
Pengambilan garam yang tinggi

Tanda dan Gejala
Pengidap Hypertensi/Darah Tinggi kebanyakkannya tidak mengalami sebarang gejala
Kadang-kadang seseorang itu hanya mengalami gejala yang tidak spesifik seperti sakit kepala atau pening kepala
Sakit kepala boleh berlaku dalam kes Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi. Selalunya ianya berlaku di waktu pagi, bahagian belakang kepala dan rasa berdenyut (bergantung kepada tahap keterukan Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi)
Untuk memastikan atau mengesahkan Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi, sila periksa tekanan darah anda di klinik berhampiran. Doktor anda akan menasihatkan berapa kerap anda perlu memeriksa tekanan darah.
Peringatan, jangan tunggu sehingga gejala timbul kerana ia mungkin telah terlambat.

Apakah komplikasi(kesan buruk akibat penyakit) Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi?
Tekanan darah yang tinggi akan mengakibatkan bebanan kepada organ-organ dalam badan dan boleh menyebabkan kerosakan. Di antara komplikasi/kesan akibat penyakit Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi adalah seperti:
Otak
Serangan Stroke/Angin Ahmar atau Stroke ringan dan sementara (Transient Ischaemic Attack)
Penyakit jantung seperti :
Coronary Heart Disease
Congestive Heart Failure
Left Ventricular Hypertrophy
Komplikasi pada mata
Perdarahan dan kerosakan kepada kawasan yang sensitif dalam mata
Keadaan yang dikenali sebagai Hypertensive Retinopathy
Komplikasi pada buah pinggang
Kegagalan fungsi buah pinggang (paras serum kreatinin tinggi, Microalbuminuria, Proteinuria).
Peripheral vascular disease seperti
Aneurysm
Kehilangan satu atau lebih denyut nadi

Apa yang perlu anda lakukan jika disahkah mengidap penyakit Hypertensive/Darah Tinggi?
Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi anda boleh dirawat
tanpa menggunakan ubatan
Perlu mengubah amalan cara hidup anda
Amalkan permakanan sihat
Kurangkan pengambilan garam dan kolesterol
Melakukan senaman berkala
Kurangkan berat badan jika berlebihan
Atasi tekanan secara berkesan
Berhenti merokok
Kategori tekanan darah normal/optima
Galakkan amalan Gaya Hidup Sihat .
Dapatkan nasihat untuk berhenti merokok, pemakanan sihat dan aktiviti fizikal yang bersesuaian.
Pra Hypertensi
Amalkan gaya hidup sihat
Dapatkan nasihat untuk berhenti merokok, pemakanan dan aktiviti fizikal yang bersesuaian.
Periksa semula tekanan darah anda dalam masa setahun
Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi Peringkat 1
Rawatan tanpa ubatan adalah rawatan utama
Anda perlu mengubahsuai gaya hidup
Amalkan pemakanan sihat
Kurangkan pengambilan garam dan kolesterol dalam makanan
Lakukan aktiviti fizikal yang teratur
Kurangkan berat badan jika berlebihan
Atasi tekanan secara berkesan
Berhenti merokok
Periksa semula tekanan darah anda mengesahkan tiada Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi

Jika anda disahkan mengidap Hypertensive/Darah Tinggi, sila ikut nasihat yang diarahkan
Dapatkan keterangan lanjut berkaitan Hypertesion/Tekanan darah tinggi
Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi Peringkat 2
Gabungan rawatan tanpa ubatan beserta pemberian ubatan diperlukan bagi merawat Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi Peringkat 2
Amalkan gaya hidup sihat
Berhenti merokok
Mematuhi pengambilan ubat dan rawatan susulan
Pengesanan komplikasi terutamanya :
Jantung
Ginjal
Mata
Dapatkan keterangan lanjut berkaitan Hypertesion/Tekanan darah tinggi

3.08 juta hidap darah tinggi
KUALA LUMPUR 11 Sept. – Sebanyak 3.08 juta penduduk negara ini yang berusia 25 hingga 64 tahun dilaporkan mempunyai masalah tekanan darah tinggi sehingga Disember tahun lepas.
Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon memberitahu, masalah tekanan darah tinggi paling banyak dihidapi oleh rakyat negara ini selain sakit jantung, kencing manis dan barah.
“Orang Melayu merupakan penghidap darah tinggi terbesar iaitu sebanyak 736,000 orang, diikuti Cina 635,000 orang dan India 244,000 orang."
“Penyakit ini didominasi oleh lelaki iaitu 1.64 juta orang daripada jumlah keseluruhan."
“Bagi kencing manis pula, seramai 1.33 juta penduduk negara ini menghidapnya dengan 56 peratus daripadanya adalah Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab menjawab soalan asal Datuk Firdaus Muhammad Rom (BN-Rembau) pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Kah Choon, kementeriannya telah mengadakan langkah jangka panjang selaras dengan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dalam memastikan rakyat negara ini sentiasa sihat dan penyakit tersebut terkawal.
Menjawab soalan tambahan dari Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) tentang usaha kementerian mengawal masalah obesiti pelajar di sekolah, Kah Choon berkata, kerjasama telah dilakukan dengan Kementerian Pelajaran dalam pelbagai program kesihatan di sekolah.
“Kita mahu maklumat diperluaskan dan kem-kem kesihatan diadakan untuk membuat saringan percuma dan mengubah konsep orang ramai terhadap penyakit."
“Konsep orang ramai yang mengatakan jika tidak sakit tidak perlu membuat pemeriksaan kesihatan perlu diubah, kita mahu kesihatan perlu sentiasa dijaga walaupun semasa sihat,” jelasnya.

Darah tinggi di kalangan kanak-kanak - Satu ancaman baru
TEKANAN darah tinggi di kalangan kanak-kanak? Ya, betul apa yang anda dengar.
Hipertensi menambah satu lagi senarai penyakit kanak-kanak yang sebahagiannya kini tinggal ‘sejarah’ seperti cacar air.
Tekanan darah tinggi yang selama ini sering dikaitkan dengan golongan dewasa mula menular kepada kanak-kanak malahan bayi juga boleh mendapat penyakit zaman moden ini.
Makanan ringan, minuman berkarbonat tinggi gula dan gaya hidup sedentari yang tidak banyak bergerak, menjejaskan masa depan kanak-kanak untuk membesar sihat.
Kajian terkini mendapati, fenomena hipertensi kanak-kanak dan remaja semakin meningkat dan tambah membimbangkan, doktor kerap terlepas pandang mengenainya.
Hasil penyelidikan yang diterbitkan dalam The Journal of the American Medical edisi 22/29 Ogos 2007 itu mendedahkan, daripada empat kanak-kanak yang mempunyai masalah tersebut, hanya seorang yang berjaya didiagnosis.
Pakar Pediatrik (Kanak-kanak), Pusat Perubatan Kampung Baru (KBMC), Dr. Noor Aziah Mohd. Saari berkata, hipertensi adalah keadaan di mana tekanan darah sistolik dan diastolik melebihi had maksimum (iaitu > 95 persentile) bersesuaian dengan usia, jantina dan ketinggian seseorang.
‘‘Bacaan tekanan darah perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga kali pada waktu berlainan, dalam keadaan yang tenang dan posisi yang sama, sebelum seseorang disahkan menghidapi penyakit darah tinggi.
‘‘Manakala tekanan darah tinggi pada atau melebihi 90 percentile (120/80 mmHg) tetapi kurang dari 95 percentile bagi usia seseorang remaja dikenali sebagai prahipertensi, yang boleh menjadi hipertensi kemudian hari,’’ katanya.
Menurutnya, kadangkala kanak-kanak atau remaja dikesan mempunyai tekanan darah tinggi semasa pemeriksaan doktor tetapi normal di luar situasi hospital, mungkin disebabkan takut pada doktor dan jururawat. Dalam keadaan ini, pemeriksaan lanjut perlu dibuat untuk pengesahan lanjut.
‘‘Masalah tekanan darah tinggi di kalangan kanak-kanak semakin meningkat di Malaysia. Walaubagaimanapun, tiada statistik yang dapat membuktikan fakta ini.
‘‘Secara keseluruhannya, hipertensi di kalangan kanak-kanak Malaysia adalah kira-kira 1peratus sahaja berbanding orang dewasa (24 peratus),’’ ujar Dr. Noor Aziah.
Sebagai negara membangun, jelas beliau, peningkatan status ekonomi keluarga dan pembangunan sosial sedikit sebanyak mengubah cara pemakanan kepada ala barat dan faktor kurang bersenam menyumbang kepada peningkatan obesiti di kalangan masyarakat termasuk kanak-kanak.
Tambahnya, peningkatan kadar obesiti kanak-kanak ini secara tidak langsung menggambarkan kemungkinan peningkatan masalah hipertensi kanak-kanak di Malaysia.

*Kategori penyakit, punca
Hipertensi terbahagi kepada primer dan sekunder. Hipertensi primer bermaksud tekanan darah tinggi di kalangan kanak-kanak terjadi tanpa sebab-sebab diketahui (kurang 5 peratus sahaja).
Hipertensi sekunder sama ada sementara atau kronik berpunca daripada penyakit-penyakit yang melibatkan buah pinggang, penyalahgunaan dadah atau ketidakseimbangan hormon.
Hipertensi primer lebih kerap terjadi pada remaja dan dewasa (lebih 85 peratus) manakala pada kanak-kanak hanya kira-kira 15 peratus. Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami tekanan darah tinggi mempunyai sebab yang jelas (85 peratus).
‘‘Hipertensi primer di kalangan kanak-kanak dan remaja berkait rapat dengan obesiti dan adanya kaum keluarga yang menghidap penyakit itu. Ini mungkin disebabkan oleh faktor genetik, cara pemakanan seluruh ahli keluarga, aktiviti keluarga yang kurang bersenam dan sebagainya.
‘‘Obesiti di kalangan kanak-kanak dan remaja menyebabkan risiko lebih tinggi (30 peratus) untuk menghidap tekanan darah tinggi pada peringkat awal mahupun apabila menjangkau dewasa,’’ kata Dr. Noor Aziah.
Kanak-kanak yang lahir dengan berat badan yang rendah dan indeks jisim tubuh yang meningkat mendadak sebelum usia 15 tahun juga lebih terdedah kepada tekanan darah tinggi primer.
Hipertensi sekunder di kalangan kanak-kanak dan remaja kebanyakannya berpunca daripada penyakit-penyakit yang melibatkan buah pinggang (95 peratus), dadah, tumor otak atau ketidakseimbangan hormon.
Penyakit ginjal yang paling lazim adalah glomerulonefritis (kencing berdarah) akibat jangkitan, sindrom nefrotik (protein dalam kencing), jangkitan pada saluran kencing dan buah pinggang yang akhirnya menyebabkan kerosakan buah pinggang.
Penyalahgunaan dadah juga boleh menyebabkan tekanan darah tinggi di kalangan remaja misalnya penggunaan kokain, tembakau, pil pencegah kehamilan, steroid, pil menguruskan badan dan pil-pil perangsang seperti amphetamine.
‘‘Menghidu kokain boleh menyebabkan tekanan darah melonjak terlalu tinggi sehingga seseorang tidak sedarkan diri, sawan dan pendarahan otak.
‘‘Pelajar-pelajar sekolah juga kini ketagih merokok tanpa menyedari rokok juga boleh menyebabkan tekanan darah tinggi. Ketidakseimbangan hormon terjadi dalam penyakit hipertiroid, pheochromocytoma dan kongenital adrenal hiperplasia,’’ jelasnya.

*Simptom-simptom
Dr. Noor Aziah berkata, tanda-tanda tekanan darah tinggi kanak-kanak sukar dikenalpasti pada peringkat awal, atau sederhana pada dewasa mahupun kanak-kanak.
Malah ia mungkin lebih sukar dikenalpasti kerana kanak-kanak belum pandai meluahkan perubahan atau ketidakselesaan dialaminya. Oleh sebab itu tekanan darah tinggi kerap digelar salah satu pembunuh senyap.
‘‘Gejala tidak spesifik seperti perubahan tingkahlaku dan prestasi sekolah merosot mungkin ada kaitan dengan tekanan darah tinggi pada peringkat awal dan sederhana.
‘‘Pada peringkat yang lebih kronik, gejala seperti rabun, lemah jantung, kerap kencing, kencing malam akan mula berlaku,’’ sambil menambah, gejala pada peringkat lebih serius tertumpu kepada kesan tekanan darah melampau sehingga mengakibatkan sawan, tidak sedarkan diri atau strok/angin ahmar.

*Diagnosis
Kanak-kanak yang dikesan menghidap darah tinggi perlu dirujuk kepada pakar untuk mendapatkan kepastian dan mencari puncanya.. Andainya punca dirawat awal, tekanan darah tinggi mungkin hanya sementara dan tidak terlanjur menjadi kronik.
Kanak-kanak yang menghidap darah tinggi perlu menjalani ujian air kencing dan darah untuk menyelidik fungsi ginjal dan lain-lain.
Dr. Noor Aziah memberitahu: ‘‘Hipertensi pada peringkat permulaan dan sederhana lazimnya tidak menampakkan gejala khusus kecuali mungkin perubahan-perubahan kecil seperti perubahan tingkahlaku atau pencapaian sekolah.
‘‘Ia lazimnya dikesan secara kebetulan pada peringkat awal apabila kanak-kanak dibawa untuk pemeriksaan kesihatan penyakit lain atau pemeriksaan rutin sebelum memasuki sekolah atau institusi pengajian.
‘‘Hipertensi jarang disyaki di kalangan kanak-kanak dan remaja. Dengan itu pemeriksaan tekanan darah bukanlah sesuatu yang dilakukan secara rutin seperti pesakit dewasa tetapi atas sebab-sebab yang tertentu sahaja.’’
Malahan, agak sukar untuk mengambil tekanan darah kanak-kanak bawah lima tahun kerana mereka tidak duduk diam ketika pemeriksaan dibuat.
Kanak-kanak juga kerap takut dengan prosedur pengambilan tekanan darah, membuatkan bacaan tidak tepat. Kain lilitan lengan untuk mengukur hipertensi juga perlu sesuai saiz lengan kanak-kanak atau remaja.
Kemungkinan juga satu-satu pusat kesihatan tidak mempunyai kain lilitan lengan dengan saiz yang sesuai untuk kanak-kanak, menyebabkan ia tidak dilakukan secara rutin.

*Senario terburuk
Tekanan darah tinggi kanak-kanak sama bahayanya dengan darah tinggi dewasa sedangkan anak-anak mempunyai masa depan yang lebih panjang untuk dilalui.
Sekiranya mereka mengidap tekanan darah tinggi pada peringkat muda lagi, kemungkinan penyakit ini akan memberi komplikasi yang lebih teruk pada masa depan, sekaligus mengurangkan kualiti kehidupan yang bermakna bagi mereka, ujar Dr. Noor Aziah.
‘‘Tekanan darah yang tinggi boleh merosakkan organ-organ dalaman badan secara perlahan-lahan. Organ yang paling penting dan paling cepat rosak ialah buah pinggang yang pada mulanya dikesan melalui kehadiran protein dalam kencing.
‘‘Lama-kelamaan, keadaan menjadi bertambah teruk sehingga berlaku kegagalan ginjal apabila seseorang penghidap mencapai usia dewasa,’’ katanya.
Tekanan darah tinggi juga, tambah beliau, boleh merosakkan permukaan dalam saluran darah seperti yang terjadi pada orang dewasa. Saluran darah yang sangat penting dan kerap terjejas ialah saluran darah ke jantung, menyebabkan penyakit lemah jantung.
‘‘Kejadian serangan jantung akibat darah tinggi kebanyakannya terjadi apabila menjangkau dewasa. Risiko strok akibat tekanan darah tinggi merosakkan saluran darah ke otak.
‘‘Tekanan darah yang terlalu tinggi boleh menyebabkan sawan pada kanak-kanak dan remaja. Ini bermakna proses kerosakan yang menjurus kepada penyakit jantung dan strok boleh bermula sejak usia masih kanak-kanak atau remaja,’’ tambah beliau.

Darah tinggi: Pembunuh Senyap
Bersama:DATUK DR. NOR IZHAM AZIZ (Pakar Perunding Perubatan dan Kardiologi Hospital Pakar Putra Melaka)

TEKANAN darah tinggi (hipertensi) kadang-kala digelar"pembunuh senyap" kerana tidak menunjukkan apa-apa simptom pada peringkat awal tetapi menyebabkan bilangan kematian yang tinggi di kalangan penduduk negara ini dan juga di seluruh dunia.
Mengikut kajian yang dijalankan di Malaysia pada 2007, lebih 30 peratus daripada penduduk negara ini menghidap tekanan darah tinggi dan sebilangan besar penghidap terdiri daripada kaum Melayu, tidak kira di bandar atau desa.
Ini dengan secara tidak langsung menunjukkan cara hidup di bandar dan di desa tidak banyak perbezaan di samping faktor genetik juga berkemungkinan memainkan peranan yang besar.
Penyakit ini melibatkan lebih kurang lima hingga enam juta rakyat Malaysia dan bilangan kes makin meningkat disebabkan gaya hidup moden zaman kini.
Darah tinggi adalah penyebab utama penyakit serangan jantung (heart attack) lemah jantung (heart failure), kegagalan buah pinggang dan buta.

Mujurlah penyakit ini senang dikesan dan boleh dikawal dengan menukar gaya hidup dan pengubatan.
* Fisiologi
Darah biasanya mengalir dalam dua fasa iaitu:
* Sistolik; apabila jantung berdenyut, darah mengalir keluar dari jantung dan tekanan darah akan naik.
* Diastolik; apabila jantung berehat seketika serta diisi dengan darah untuk denyutan selanjutnya, menyebabkan tekanan darah turun seketika.
Ini bermakna tekanan darah akan turun dan naik mengikut denyutan jantung.
Ini menyebabkan tekanan darah mengandungi dua nilai iaitu sistolik yang tinggi dan diastolik yang rendah, contohnya 120/80 milimeter (mm) merkuri (Hg).
Tekanan darah juga berubah dari masa ke semasa sepanjang hari disebabkan emosi dan keadaan tubuh badan kita. Sebagai contoh, tekanan naik semasa bersukan dan tekanan turun sewaktu tidur.
Tiga jenis hormon dari kelenjar adrenal iaitu adrenaline, noradrenaline dan aldosterone turut mempengaruhi tekanan darah. Rangkaian urat saraf dan hormon tadi mempengaruhi tekanan darah di dalam tubuh kita.
Biasanya sistem yang kompleks ini mengawal tekanan darah dan gangguan di dalam sistem ini menyebabkan darah tinggi.
Kira-kira 90 peratus pesakit darah tinggi tidak ada penyebab yang khusus dan ini digelar Essential atau Primanory Hypertension.
Beberapa faktor dapat dikenali mempunyai kaitan dengan Primanory Hypertension seperti tabiat pemakanan, aktiviti fizikal dan juga keadaan persekitaran.
Fakta lain seperti kandungan garam dan lemak yang tinggi di dalam diet, obesiti dan kegemukan, kurang senaman serta kurang memakan sayur dan buah-buahan yang mengandungi nilai potassium yang tinggi. Selain itu, faktor genetik juga dilihat memainkan peranan penting.
Darah tinggi juga boleh disebabkan oleh penyakit-penyakit lain dan ini dinamakan "secondary hypertension" yang membabitkan lima peratus dari jumlah kes.
Penyakit-penyakit tersebut ialah kegagalan fungsi buah pinggang (kidney failure), penyempitan pembuluh darah ke buah pinggang, tumor di kelenjar adrenal dan penyempitan pembuluh darah besar aorta.
Penyempitan pembuluh darah ini kadang kala dapat dirawat dengan pembedahan dan boleh menyembuhkan tekanan darah tinggi.
Selain itu, sesetengah jenis ubat juga boleh menyebabkan darah tinggi seperti steroid, cyclosporine, anti-depressant (kemurungan) dan ubat untuk sakit sendi dan tulang jenis NSAID (ubat antikeradangan bukan jenis steroid).
* Simptom atau petanda darah tinggi
Darah tinggi pada peringkat awal tidak memberi sebarang petanda dan kadangkala tidak dapat dikesan hingga bertahun lamanya.
Kadangkala, pesakit akan mengalami sakit kepala tetapi biasanya darah tinggi dikesan semasa pemeriksaan rutin.
Selalu juga tanda pertama darah tinggi ialah apabila pesakit menghidap komplikasi seperti strok, serangan jantung, lemah jantung atau masalah buah pinggang.
Kadang kala pesakit datang ke hospital dalam keadaan krisis dan tekanan darah melebihi 200/120 mm Hg.
Tekanan darah yang tinggi sebegini boleh menyebabkan sakit dada, sesak nafas, sakit kepala, gangguan penglihatan, muntah-
muntah dan juga sawan.

* Klasifikasi darah tinggi
Darah tinggi boleh diklasifikasikan mengikut tahap tekanan darah (mm Hg) seperti berikut:
KATEGORI Sistolik Diastolik
Optimum - <120<80>/180 - >/110
Hipertensi Sistolik Terpencil - >/140 - <90
Darah tinggi boleh dibezakan di antara sistolik dan diastolik. Biasanya hipertensi sistolik dihadapi oleh pesakit yang berumur 60 tahun ke atas di mana tekanan sistolik melebihi 140 mm Hg dan tekanan diastolik kurang daripada 90 mm Hg.
Sebaliknya pula, pesakit yang lebih muda mengalami tekanan sistolik melebihi 140 mm Hg dan tekanan diastolik juga melebihi 90 mm Hg.
Di kalangan pesakit yang datang ke klinik atau hospital dan dikatakan mengidap darah tinggi, lebih kurang 20 peratus daripada mereka mempunyai tekanan darah yang normal apabila diperiksa sendiri di rumah.
Golongan ini dinamakan "white coat hypertension" (hipertensi kot putih). Biasanya doktor akan menggunakan alat pemantauan automatik yang boleh digunakan di rumah selama 24 jam untuk mengesan golongan ini (24 hours ambulatory blood pressure monitoring).
Di kalangan pesakit darah tinggi, ada juga yang tekanan darahnya tidak menurun sewaktu tidur dan kumpulan ini digelarkan "non dippers".
Golongan ini didapati menghadapi kadar komplikasi yang lebih tinggi. Ada kajian yang mengatakan bahawa "non dippers" ini disebabkan terlalu banyak kandungan garam (sodium) di dalam darah dan rawatan untuk mengurangkan garam boleh menukar non dippers kepada "nocturnal dippers."

* Komplikasi dari tekanan darah tinggi
Tekanan darah yang berlebihan boleh merosakkan pembuluh darah besar dan juga yang kecil.
Contoh kerosakan pembuluh darah yang besar adalah seperti strok dan serangan jantung dan contoh kerosakan pembuluh darah yang kecil ialah kegagalan buah pinggang dan gangguan penglihatan disebabkan kerosakan mata.
Satu lagi komplikasi ialah "atrial fibrillation"atau degupan jantung yang tidak stabil. Ini menyebabkan pesakit merasa berdebar-debar dan kadang-kala pening dan sesak nafas.
Darah tinggi juga menyebabkan jantung membengkak dan boleh berlarutan hingga ke peringkat lemah jantung.
Satu lagi komplikasi ialah bengkak di saluran aorta (aneurisme). Aneurisme ini kadangkala terkoyak atau bocor dan berlaku pendarahan yang banyak. Komplikasi ini kerap menyebabkan pesakit maut.
* Pencegahan
Pencegahan darah tinggi adalah amat penting disebabkan kerosakan organ boleh bermula apabila tekanan darah melebihi 120/80 mm Hg dan sebelum dapat dikesan oleh doktor.
Pencegahan juga boleh mengelakkan daripada keperluan menggunakan ubat kelak dan merupakan cara yang terbaik untuk mengelak komplikasi.
Cara pencegahan adalah dengan mengubah cara hidup seperti mengurangkan berat badan, kerap bersenam, cara pemakanan yang sihat seperti memakan banyak sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan kandungan garam dan lemak dalam masakan.
Kajian menunjukkan bahawa pemakanan yang seimbang dengan kandungan nutrien penting terutamanya potasium melebihi 4,000 miligram (mg) sehari boleh merendahkan tekanan darah.
Selain itu, memakan sebanyak lima cawan sayur dan buah-buahan, tiga cawan bahan tenusu rendah lemak dan mengurangkan kegunaan garam sebanyak 1,500 mg sehari boleh merendahkan tekanan darah.
* Sindrom metabolik
Berat badan yang tinggi memainkan peranan yang penting dalam apa yang dinamakan sindrom metabolik.
Sindrom ini boleh dikenali dengan adanya obesiti dengan Indeks Jisim Badan (IJB) atau BMI (Basal Metabolic Rate) yang melebihi 25 serta perut buncit selain ukuran pinggang yang melebihi 40 inci untuk lelaki, melebihi 35 inci untuk perempuan, diabetes, darah tinggi, HDL kolesterol (kolesterol baik) yang rendah dan triglyceride yang tinggi.
Kesemua penyakit ini boleh dielak jika kita menjaga berat dan ukuran pinggang yang sesuai. Biasanya jika berat badan dapat dikurangkan sebanyak 10 peratus, tahap tekanan darah juga dapat diturunkan.
* Diagnosis
Darah tinggi biasanya dikesan semasa pemeriksaan rutin atau semasa berjumpa doktor untuk masalah kesihatan yang lain.
Selalunya doktor akan memeriksa tekanan darah dua atau tiga kali dalam masa yang berasingan untuk memastikan tekanan darah tinggi.
Pesakit dinasihatkan jangan meminum kopi atau teh, jangan hisap rokok selama setengah jam dan berehat selama lima minit sebelum memeriksa tekanan darah.
Alat-alat pemeriksaan darah tinggi jenis elektronik juga boleh digunakan di rumah untuk mengesan golongan "white coat hypertension"dan untuk memantau tekanan darah setiap hari.
Doktor juga boleh menggunakan alat untuk merakamkan tekanan selama 24 jam (24 hours BP monitoring) kerana cara ini lebih tepat dan dapat mengesan golongan ‘non dippers’ yang menghadapi darah tinggi sewaktu tidur.
* Rawatan
Rawatan darah tinggi mementingkan kawalan tekanan yang tidak melebihi 140/90 mm Hg bagi mereka yang tidak mempunyai penyakit sampingan atau 130/80 bagi mereka yang menghidap diabetes, lemah jantung dan kerosakan buah pinggang.
Penting juga bagi doktor untuk mengesan mereka yang menghidap "secondary hypertension" supaya punca utama darah tinggi dapat dirawat.
Biasanya rawatan darah tinggi dimulakan dengan memperbaiki cara hidup dengan pemakanan yang seimbang, mengamalkan cara hidup yang aktif, melakukan aktiviti fizikal dan senaman jika tekanan darah masih di peringkat satu.
Bagi pesakit dengan tekanan darah didapati terlalu tinggi (peringkat kedua), pesakit harus menggunakan ubat untuk mengawal tekanan darah.
Di kalangan pesakit yang menghidap diabetes, lemah jantung, strok atau kerosakan buah pinggang, ubat biasanya digunakan pada peringkat satu dan tekanan darah perlu dikurangkan hingga ke 130/80 mm Hg.
* Ubat-ubatan
Terdapat pelbagai jenis ubat yang digunakan untuk mengawal tekanan darah. Biasanya doktor memilih ubat mengikut keadaan dan faktor-faktor kesihatan lain yang terdapat pada pesakit.
Contohnya di kalangan pesakit yang berumur 65 tahun ke atas dan menghidap hipertensi sistolik, ubat yang paling berkesan adalah dari kumpulan diuretic dan di kalangan pesakit diabetes pilihan pertama adalah angiotensin converting enzyme (ACE) inhibitors atau angiotensin receptor blocker.
Jika pesakit menghidap angina atau serangan jantung, beta-blocker adalah pilihan pertama. Di kalangan pesakit dalam peringkat pertama dan tiada tanda-tanda kerosakan organ, perubahan cara hidup boleh dicuba terlebih dahulu selama enam bulan hingga setahun. Jika tekanan darah masih melebihi 140/90 mm Hg, biasanya satu jenis ubat digunakan.
Bagaimanapun di kalangan pesakit yang dalam peringkat kedua, kadangkala doktor memulakan dengan dua jenis ubat dengan serentak.
Terdapat ubat moden di mana dua jenis ubat disatukan di dalam satu pil dan ini menyenangkan pesakit dan menggalakkan mereka kekal memakan ubat setiap hari. Di dalam pemilihan ubat, kos juga menjadi faktor yang perlu dipertimbangkan.
* Rawatan jangka panjang
Pesakit yang menghidap tekanan darah tinggi biasanya menjalani rawatan seumur hidup dan selalunya berjumpa doktor antara satu hingga tiga bulan sekali.
Di kalangan pesakit yang tekanannya tidak terkawal atau menghidapi masalah perubatan seperti sakit jantung, strok atau kerosakan buah pinggang haruslah berjumpa doktor setiap bulan.
Ada setengah pesakit di mana tekanannya susah dikawal dan memerlukan tiga atau empat jenis ubat.
Kajian menunjukkan bahawa 50 peratus daripada pesakit memerlukan satu jenis ubat dan 30 peratus lagi memerlukan dua jenis ubat sementara bakinya pula memerlukan tiga atau empat jenis ubat untuk mengawal tekanan darah mereka.
Kajian juga menunjukkan bahawa 30 peratus daripada pesakit mempunyai tekanan darah tidak terkawal.
Faktor pertama tekanan tidak terkawal adalah disebabkan ubat yang tidak mencukupi disebabkan pesakit tidak memakan ubat yang diberikan.
Ada kajian yang menunjukkan 50 peratus daripada pesakit berhenti makan ubat dan tidak berjumpa doktor dalam jangka masa setahun selepas bermulanya rawatan.
Hakikat ini boleh difahami kerana penyakit darah tinggi selalunya tidak mendatangkan apa-apa gangguan dan ubat yang dimakan kadangkala menyebabkan kesan sampingan yang mengganggu kehidupan harian pesakit. Tetapi, adalah sangat penting ubat dan rawatan diteruskan memandangkan penyakit-penyakit yang serius yang boleh terjadi akibat tekanan darah tinggi yang tidak dikawal.
* Jenis-jenis ubat darah tinggi
* Diuretik
Diuretik mengurangkan kandungan garam dan air di dalam badan dengan mengeluarkan bahan ini di dalam air kencing. Dengan ini tekanan darah dapat dikurangkan.
* Beta-blocker
Beta-blocker menyekat perjalanan hormon adrenaline dan noradrenaline. Ini mengurangkan kekuatan dan kelajuan denyutan jantung dan mengurangkan tekanan darah.
* Angiotensin converting enzyme (ACE) inhibitors atau Angiotensin receptor blocker (ARB)
ACE inhibitor dan ARB menyekat enzim yang mengeluarkan angiotensin II, satu bahan yang menyebabkan saluran darah mengecut. Ubat ini mengembangkan saluran darah dan menurunkan tekanan.
* Calcium channel blocker
Calcium channel blocker menyekat perjalanan kalsium ke sel di saluran darah. Ini menyebabkan saluran mengembang dan menurunkan tekanan darah.
* Alpha-blocker
Alpha-blocker menyekat isyarat saraf yang menyebabkan cengkaman saluran darah.

Ibu hamil waspada darah tinggiOleh NOOR FAZRINA KAMAL
PENYAKIT darah tinggi berpotensi terjadi kepada setiap wanita hamil dengan peratusan antara 10 hingga 15 peratus, di mana ia boleh dikategorikan sebagai agak tinggi.
Keadaan ini berlaku pada wanita tidak kira sama ada di negara sedang membangun mahupun negara yang maju daripada aspek perubatannya.
Pakar Obstetrik dan Ginekologi dari Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. S. Silvam berkata, tekanan darah tinggi di kalangan wanita hamil biasanya berlaku ketika kandungan berusia 20 minggu ke atas.
Tetapi, sekiranya ia berlaku lebih awal dari tempoh itu, pemeriksaan terhadap pesakit perlu dilakukan untuk melihat sama ada terdapat penyakit lain yang berkaitan buah pinggang atau sejarah perubatan keluarga yang sememangnya ada menghidap darah tinggi.
Menurutnya, darah tinggi terjadi kepada ibu mengandung kerana perubahan yang berlaku pada proses perkembangan uri.
"Perkembangan uri sangat penting semasa proses kehamilan berlangsung. Di dalam uri terdapat banyak saluran darah. Tekanan darah berlaku apabila salur darah dalam uri (spiral arteri) tidak berkembang seperti sepatutnya (mengecut) dan menyebabkan darah tidak mengalir dengan sempurna" jelasnya ketika ditemui di kliniknya, di Kelana Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Menurut beliau, tekanan darah yang normal untuk orang yang tidak mengandung ialah 140 ke 90, tetapi bagi ibu mengandung tekanan yang normal ialah 110 ke 70.
"Kalau lebih daripada 110 ia dikategorikan sebagai tekanan darah tinggi, bagaimanapun peratusan kenaikan daripada tahap normal hingga ke tahap tekanan itu akan dianalisis oleh doktor.
"Sebab itu penting bagi seorang wanita hamil untuk mendapatkan rawatan kerap daripada doktor mereka," jelas Dr. Silvam yang juga berkepakaran dalam bidang ginekologi onkologi.
Antara komplikasi yang terpaksa dihadapi oleh wanita hamil ialah mengeluarkan bayi mereka sebelum waktu matang.
"Seperti yang diketahui jarang jangka hayat bayi dapat diteruskan sekiranya kandungan baru berusia 20 minggu.
"Dalam kes wanita hamil yang menghidap darah tinggi, kita perlu sentiasa berkompromi antara kesihatan ibu dan nyawa bayi.
"Setiap bayi yang lahir pramatang akan menghadapi banyak masalah. Katakan bayi terpaksa dilahirkan pada 28 minggu, ia masih ada masalah sebab dia perlukan pengudaraan yang sempurna, perlu dimasukkan ke wad neo natal, penjagaan rapi dengan kos yang amat tinggi.
"Risiko lain, bayi juga boleh meninggal dunia kalau dikeluarkan terlalu awal," jelas beliau lagi.
Sekiranya tekanan darah tinggi boleh dikawal, maka doktor akan menasihatkan ibu berkenaan supaya meneruskan kandungan dengan pengawasan rapi.
Menurut Dr. Silvam, kawalan dibuat sendiri (tanpa ubat) atau doktor akan mulakan ubat, iaitu pengambilan ubat darah tinggi.
Ibu hamil yang menghidap darah tinggi tidak perlu memilih makanan mereka kerana darah tinggi ini lain daripada darah tinggi yang biasanya dihidapi oleh orang yang tidak mengandung.
Pendek kata ia tidak ada kena mengena dengan darah tinggi yang disebabkan oleh makanan seperti pengambilan garam berlebihan.
"Wanita hamil mengalami darah tinggi adalah disebabkan kehamilannya, uri dan bayi itu sendiri. Jadi sebaik sahaja bayi dilahirkan darah tinggi pada ibu mengandung itu akan turun," ujar beliau.
Peratusan untuk penyakit darah tinggi pada wanita hamil akan hilang selepas bersalin ialah sebanyak hampir 100 peratus, kecuali ada faktor-faktor lain seperti usia si ibu yang sudah mencecah 40 tahun.
Terdapat kes di mana selepas bersalin tekanan darah tinggi tersebut tidak hilang, sebab mungkin secara semula jadinya darah tinggi itu sudah memang ada dalam dirinya kerana faktor umur atau juga faktor-faktor lain dan bukan sebab mengandung.
"Ini semua mesti diperiksa secara mendalam, doktor tidak boleh buat sebarang kesimpulan. Sebagai contoh, seorang wanita muda berusia 20 tahun yang mengandung dan dikesan mempunyai darah tinggi. Kita, menjangkakan darah tinggi akan turun selepas bersalin jika dia tidak ada sebarang masalah lain seperti buah pinggang atau sebagainya," hurai beliau.
Ketika ditanya tentang kaedah bersalin paling selamat untuk wanita yang menghidap darah tinggi, Dr. Silvam menjelaskan ia bergantung kepada faktor kematangan bayi dalam kandungan (selama mana kandungan tersebut).
"Seboleh-bolehnya kita akan bagi ibu bersalin bila cukup tempoh, sebab kurang risiko untuk bayi. Bukan saja takut bayi meninggal awal, tapi juga masalah komplikasi lain.
"Namun, jika tahap darah tinggi ibu itu terlalu tinggi, mungkin doktor akan menyarankan bersalin awal dengan cara pembedahan Ceasarean kerana apabila darah terlalu tinggi, bahayanya adalah pada ibu.
"Ibu boleh mendapat sawan, kadang-kadang boleh terjadi pendarahan di otak dan seterusnya terjadi strok," jelas beliau.
Dr. Silvam berkata, walaupun strok selalu dialami oleh orang tua, kesan akhir bagi penghidap darah tinggi yang serius adalah sama, tidak kira bagi penghidap darah tinggi biasa mahupun ibu hamil yang menghidap darah tinggi.
"Walaupun punca darah tinggi semasa mengandung berlainan daripada kes darah tinggi biasa, namun perlu diingatkan kesan akhirnya tetap sama. Apabila salur darah pecah, serangan strok terjadi dan komplikasinya sama saja, jadi sebab itu kita kena mengawal darah tinggi ini untuk ibu melalui pengambilan ubat," kata Dr. Silvam.
Semasa tekanan darah terlalu tinggi, doktor akan melihat dua keadaan. Pertama, sama ada tekanan darah tinggi disertai dengan kencing kotor (protein dalam air kencing tinggi), di mana wanita tersebut mungkin akan mengalami ‘eminent eclampsia’ (hampir-hampir mengalami sawan).
Dalam keadaan ini, doktor akan menyarankan wanita tersebut dimasukkan ke wad untuk pemerhatian.
Jika keadaan membahayakan nyawa ibu, maka dia akan dipaksa bersalin dan jika tempoh kandungan baru 20 minggu kemungkinan besar bayi tidak akan selamat. Bagaimanapun, jika kandungan sudah berusia 28 minggu atau lebih bayi boleh dirawat secara intensif.
Kedua, jika ibu mengalami darah tinggi, tapi tiada kencing kotor, doktor akan memberi pemerhatian rapi dengan pemeriksaan doktor setiap minggu. Apabila doktor membuat analisis, darah tingginya boleh dikawal dan kencingnya tidak kotor, maka kandungannya boleh diteruskan hingga cukup matang iaitu minggu 32 hingga 34.
"Dalam keadaan ibu hamil dengan tekanan darah tinggi ini mesti selalu kompromi, iaitu antara kesihatan ibu dan kematangan bayi.
"Paling diutamakan ialah nyawa ibu, sebab selain strok terdapat juga kes di mana ibu boleh meninggal dunia kerana uri pecah (placenta rupture), berdarah akibat tekanan yang terlalu tinggi," ujar beliau.
Susah untuk mengelakkan seorang ibu hamil daripada terkena darah tinggi, ia sebenarnya bergantung kepada faktor-x yang ada pada ibu dan ayah,
masalah darah tinggi ini berlaku bukan saja di negara-negara membangun, ia juga masalah penting yang berlaku di negara yang sudah membangun, sebab tiada siapa yang tahu puncanya.
Bagaimanapun, ibu yang mempunyai darah tinggi adalah dinasihatkan supaya bersalin di hospital dan pastikan ada doktor pakar yang akan membuat rawatan susulan dan rawatan sokongan.

Makanan segera punca kanak-kanak darah tinggi
KUALA LUMPUR 19 Okt. - Penyakit darah tinggi yang sebelum ini kerap dikaitkan sebagai 'penyakit orang tua' kini turut dihidapi oleh kanak-kanak yang mengalami obesiti akibat pengambilan makanan segera yang tidak dikawal.
Kandungan garam dan lemak yang berlebihan dalam makanan tersebut boleh memudaratkan kesihatan tambahan pula jika mereka kurang melakukan aktiviti fizikal.
Pakar Pemakanan Hospital Pantai Ampang, Norlizawati Che Lah mendedahkan, terdapat kes seorang kanak-kanak lelaki terpaksa dimasukkan di Pusat Rawatan Rapi (ICCU) selama dua minggu akibat diserang darah tinggi.
Katanya, kanak-kanak yang dirawat di ICCU hospital berkenaan itu mempunyai berat badan berlebihan sebanyak 30 kilogram daripada berat sepatutnya dimiliki oleh kanak-kanak yang berusia 12 tahun.
"Kanak-kanak tersebut menghidap darah tinggi kesan daripada pemakanan tidak seimbang dalam menu hariannya.
"Hampir setiap hari kanak-kanak itu menjadikan kentang goreng, piza dan ayam goreng sebagai makanan hariannya dan amalan pemakanan tidak sihat itu berlarutan dua tahun hingga menyebabkan dia diserang penyakit darah tinggi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan rasa tidak gembira dengan keadaan rakyat Malaysia yang berhadapan dengan pelbagai masalah kesihatan terutama obesiti dan sakit jantung.
Kenyataan spontan bekas Perdana Menteri itu menggambarkan rasa kecewa beliau dengan sikap rakyat Malaysia yang malas untuk menjaga kesihatan mereka.
Norlizawati menambah, lebih memburukkan keadaan, kanak-kanak obesiti ini tidak suka melakukan aktiviti fizikal dan lebih gemar bermain play station atau menonton televisyen.
Beliau memberitahu, berdasarkan kes yang dirujuk kepadanya, 30 peratus kes obesiti berkenaan melibatkan golongan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.
"Sementara itu, selebihnya adalah golongan wanita yang datang sendiri berjumpa saya untuk mendapatkan panduan menurunkan berat badan," katanya.
Beliau memberitahu, bagi golongan lelaki pula mereka jarang mahu berjumpa pakar pemakanan.
"Kalau ada pun, kes adalah yang dirujuk oleh doktor," jelasnya.

Penghidap darah tinggi meningkat
WASHINGTON: Hampir satu bilion penduduk di seluruh dunia menghidap penyakit darah tinggi dengan lebih setengah bilion dijangka mengalami penyakit pembunuh senyap itu menjelang 2025.
Pakar ekonomi London School of Economics dan Universiti New York yang menghimpunkan dua kumpulan pakar, menyifatkan ancaman darah tinggi membimbangkan dan mencetuskan krisis bahaya - kira-kira 1.56 bilion orang dijangka menghidapnya dalam masa 13 tahun lagi.
Malangnya, seperti kata pakar, penyakit itu tidak mendapat perhatian sewajarnya berbanding selesema burung yang setakat ini meragut kurang 200 nyawa.
Bilangan itu bukan saja mengejutkan tetapi ia juga terbukti tidak hanya dihidapi masyarakat Barat yang mengalami masalah berat badan. Sebaliknya, di negara Afrika yang diketahui ada di antara negaranya berdepan masalah kesukaran makan, juga menyaksikan darah tinggi sebagai masalah lazim.
Ini menyebabkan berjuta-juta kematian akibat penyakit jantung yang dikaitkan dengan tekanan darah tinggi.
“Tekanan darah tinggi kini dianggap biasa,” kata Dr Jan Ostergren, pakar Universiti Karolinska, Sweden yang juga antara penyelidik pertama mengenai impak penyakit darah tinggi kepada dunia.
Matlamatnya, ‘menggerakkan’ kerajaan dunia supaya bersatu memerangi tekanan darah tinggi seperti mana penyakit jangkitan lain.
Sementara itu, pakar jantung antarabangsa, mengalukan usaha Ostergen dan rakannya.
“Di Amerika Syarikat sendiri, majoriti pesakit darah tinggi tidak menerima rawatan sewajarnya,” kata Dr Sidney Smith, Universiti North Carolina yang juga penasihat Persekutuan Jantung Sedunia.
“Lihat China, Afrika dan pergilah ke pelosok mana pun di dunia. Darah tinggi satu faktor berisiko utama,” katanya. – AP